Thursday, December 25, 2008

Jenis fitonutrien utama & faedahnya

Likopena

Sebatian tumbuhan yang wujud secara semulajadi dan diekstrak daripada tomato, karoteniod berwarna oren-merah ini mempamerkan aktiviti antioksidan yang kuat. Kajian epidemiologi menunjukkan bahawa terdapat pertalian antara peningkatan pengambilan tomato dan pengurangan risiko kanser prostat. Komponen aktif yang dianggap bertanggungjawab bagi faedah yang menyihatkan ini ialah likopena.
Tambahan lagi, lelaki yang mempunyai paras likopena serum yang tinggi didapati berisiko lebih rendah terhadap kanser prostat berbanding lelaki yang memiliki paras likopena yang rendah.
Kajian epidemiologi tambahan menyarankan bahawa likopena juga boleh membantu melindungi daripada kanser paru-paru dan perut. Di samping itu, pengambilan likopena yang tinggi boleh membantu menyederhanakan kesan sinar ultraungu (UV) dan melindungi sedikit daripada selaran matahari (sunburn).

Lutein
Karotenoid berwarna kuning, lutein, boleh didapati dalam bunga marigold serta sayur-sayuran berdaun hijau. Memiliki paras aktiviti antioksidan yang tinggi, lutein memainkan peranan utama dalam menggalakkan kesihatan mata.
Terdapat dalam jumlah yang banyak di makular mata,lutein juga membantu menyerap cahaya biru dalam spektrum yang dapat dilihat dan melindungi daripada kerosakan gelombang jarak pendek pada epitelium retina.
Lutein dan zeaxantin, satu lagi pigmen karotenoid (diperolehi daripada lutein) dalam paras yang tinggi, dianggap dapat mengurangkan risiko degenerasi makular iaitu satu bentuk kebutaan khusus yang lazimnya berlaku di kalangan individu melebih usia 75 tahun.
Dalam satu kajian ke atas individu berusia, didapati bahawa mereka yang mempunyai risiko degenerasi makular berkaitan usia yang terendah mengambil dietari lutein dan zeaxantin tertinggi. Paras 2.0 hingga 6.9 miligram (mg) lutein sehari dipercayai dapat membantu melindungi daripada degenarasi makular.

Kuersetin
Lazimnya didapati dalam epal, bawang dan teh hijau, kuersetin adalah sejenis bioflavonoid berfungsi sebagai antioksidan dan membantu fungsi vitamin C, dengan mengurangkan kemerosotan vitamin C dalam tubuh.
Kuersetin khususnya, berfaedah dalam menggalakkan kesihatan saluran darah. Suatu antioksidan yang kuat, diet yang tinggi kandungan sebatian ini boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Asid Elagik
Asid elagik adalah antioksidan kuat yang mempunyai faedah kesihatan penting. Penyelidikan ketika ini menunjukkan bahawa asid elagik melindungi daripada kerosakan DNA dalam sel yang dikultur.
Tambahan lagi, asid elagik merencatkan aktiviti sekumpulan enzim terpilih, dikenali sebagai N-acetyltransferases, yang boleh membawa kepada perubahan dalam struktur DNA.
Sokongan saintifik bagi asid elagik yang berfaedah sebagai antikarsinogen diperolehi daripada kajian in vitro dan ke atas haiwan. Kajian-kajian tersebut menunjukkan kesan antikarsinogen asid elagik ke atas tumor yang terbentuk disebabkan oleh pendedahan kepada bahan kimia tertentu.

Hesperidin
Oren adalah sumber yang bagus bagi banyak fitokimia yang berbeza dan ia adalah sumber terbaik hesperidin. Beberapa laporan dalam dokumen saintifik menunjukkan bahawa hesperidin, apabila digabungkan dengan sejenis flavonoid sitrus yang lain iaitu diosmin, berkesan dalam mengurangkan keseriusan vena varikos, buasir dan kekurangan vena yang kronik.
Umumnya, hesperidin membantu menyokong prestasi kardiovaskular yang baik, terutamanya menerusi kemampuannya menggalakkan tona dan keanjalan vena, serta ketelapan vaskular lebih baik, yang membantu mengurangkan edema atau pembengkakan.
Maklumat tambahan mendedahkan bahawa individu yang minum sehingga tiga gelas jus oren setiap hari meningkatkan paras HDL (kolestrol baik) mereka sebanyak 21 peratus dan merendahkan paras kolestrol tidak baik serta trigliserida secara keseluruhan. Kesan positif ini adalah hasil fungsi hesperidin dalam jus oren.

Antosianin
Beri seperti blueberi dalam elderberi adalah sumber penting antosianin. Antosianin adalah sekumpulan sebatian yang bertindak sebagai antioksidan.
Oleh itu, ia memainkan peranan penting dalam melindungi tubuh daripada kerosakan radikal bebas yang membawa kepada penyakit jantung. Terdapat juga bukti bahawa antosianin boleh membantu melindungi daripada kerosakan DNA.

Epigallocatechin Gallate (EGCG)
Teh hijau mengandungi pelbagai fitokimia dinamakan katekin (catechin), yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Ini termasuk beberapa molekul berkaitan yang dinamakan epicatechin, epigallocatechin, epcatechin galate dan epigallocatechin gallate (EGCG).
Teh hijau khususnya kaya dengan satu daripada ECGC ini. EGCG yang didapati dalam teh hijau dikaitkan dengan pelbagai faedah kesihatan. Sebagai contoh, kandungan katekin di dalam dua cawan teh hijau, yang mempunyai kira-kira 82 mg ECGC, meningkatkan keupayaan antioksidan plasma darah dan adalah disyorkan sebagai satu cara mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.
Telah lama diketahui bahawa katekin teh hijau merupakan sejenis antioksidan yang efektif dan ini memang benar terutamanya untuk golongan perokok. Penyelidikan tambahan menyarankan bahawa katekin teh hijau adalah sangat berfaedah bagi wanita kerana wanita yang minum sekurang-kurangnya empat cawan (500 mililiter atau kira-kira 16 auns) teh hijau sehari boleh mengurangkan risiko aterosklerosis aorta.

Siapa yang mendapat faedah daripada pengambilan fitonutrien?

- orang yang tidak cukup memakan buah-buahan dan sayur-sayuran
- lelaki dan wanita yang mementingkan kesihatan yang ingin melindungi tubuh mereka daripada radikal bebas.
- Orang yang merokok, mengambil minuman beralkohol, menjalani gaya hidup penuh stress, terdedah kepada persekitaran yang sangat tercemar.
- Orang yang ingin menjalani gaya hidup sihat.

" Semoga artikel ini dapat memberi manafa'at dan informasi berguna kepada semua kawan-kawan dan ahli keluarga di atas nama sumbangan ilmu. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang menyampaikannya meskipun dia sudah mati..

No comments:

Post a Comment