Thursday, December 25, 2008

Tajdid Iman: Manusia kerap lupa janji tak ulang maksiat

Penyeksaan ditangguh kerana Allah sayang sedangkan orang terdekat sudah terkena bala AL-IMAM Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya Al-Daa' wal Dawaa' berkata: "Kegembiraanmu dengan perbuatan dosa, tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi aib akibat dosa dan hatimu yang tidak boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat di sisi Allah melebihi timbangan dosa itu." Betapa mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan segala-galanya untuk sidang perbicaraan di akhirat. Bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah mengenai nasib manusia yang mudah melupakan dosanya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun." (Surah al-Kahfi, ayat 49)
Mengapa manusia selalu mengulangi dosanya selepas bertaubat? Apakah kerana syaitan lebih bijak menyelewengkan mereka dengan hujah bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun? Lalu mengapa orang bodoh itu tidak berfikir apakah tujuan diciptakan neraka jika mereka semua kononnya boleh masuk syurga dengan cara mempermain-mainkan pengampunan Allah? Orang yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan orang yang benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan ibadat. Jadi panggilan apakah yang paling sesuai bagi mereka yang selepas bertaubat selalu berbuat dosa kembali secara berulang? Agaknya mereka ini sesuai dipanggil dengan sebutan hamba Allah yang tidak tahu malu.
Seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham: "Wahai Imam, aku ingin bertaubat dan meninggalkan dosa tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah." Ibrahim bin Adham berkata: "Jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya di atas bumi milik Allah ini. Lelaki itu bertanya: Lalu di manakah aku boleh melakukannya? Ibrahim bin Adham menjawab: Keluarlah dari bumi-Nya. Dan jika engkau masih ingin melakukan maksiat, jangan makan rezeki kurniaan-Nya. Lelaki itu bertanya: Bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripada-Nya? Ibrahim berkata: "Tidakkah engkau rasa malu hidup di atas bumi-Nya dan makan daripada rezeki-Nya kemudian melakukan maksiat kepada-Nya?" Mengapa ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid Rasulullah SAW di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada tetapi dengan sekelip mata mengulangi kembali perbuatan maksiat dan melupakan janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya? Dia ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya dia boleh 10 kali lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah yang tidak mungkin dibeli dengan harta dan kedudukannya. Bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam keadaan dia bermaksiat?Begitu pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah dan cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah tambahkan, dia sudah pun lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu. Jelaslah betapa pentingnya seorang hamba memiliki rasa malu kepada Allah supaya dia sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terjaga mata hatinya, tidak tidur dan lalai dibius oleh kemaksiatan yang bermaharajalela. Bagaimanakah cara menumbuhkan rasa malu kepada Allah? l Ingatlah kurniaan Allah. Kadangkala Allah merahmati hamba-Nya dengan mengirimkan ilham ke dalam hati yang terdetik secara tiba-tiba. Pernahkah kita rasai kurniaan Allah itu semakin banyak dilimpahkan seiring semakin tebalnya buku catatan dosa yang kita lakukan? Mengapa Allah membalas dosa itu dengan rezeki yang semakin banyak, pujian manusia yang semakin melambungkan nama, jawatan semakin kukuh, kehidupan meningkat sejahtera padahal dosa dibuat berganda-ganda banyaknya? Orang yang mendapat keuntungan dunia hendaklah selalu mengingati firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan." (Surah Hud, ayat 15-16) Ayat itulah yang menyebabkan Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan menyungkurkan mukanya ke tanah lalu beliau menangis saat menghadapi sakaratul maut sambil mengulang-ulangi bacaan ayat berkenaan. Mengapa Allah tidak terus menyeksa manusia pada kali pertama dia mengulangi dosanya, lalu dicabut rezeki dan keberuntungan daripada hidupnya, ditimpa musibah dan diazab secara langsung tanpa bertangguh? Maha Suci Allah yang sentiasa memberi peluang untuk manusia mengingati kurniaan-Nya. Dialah Allah yang melimpahkan nikmat supaya mereka bersyukur dan kembali pulang, Dia menangguhkan seksa kerana sayang kepada kita sedangkan orang yang berdekatan dengan kita terkena bala dan musibah. Fikirkanlah ilham yang hadir dalam hati. Belumkah lagi muncul hati yang malu milik hamba Allah yang beruntung ini? Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa Baginda melakukan solat malam sehingga kaki Baginda bengkak sedangkan Allah sudah menyucikan dirinya? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak bolehkan aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?" (Hadis riwayat al-Bukhari) l Telitilah aib diri. Ada seorang hamba yang berangan-angan masuk syurga dengan membawa sembahyang yang dilakukan dengan lalai hingga habis waktu, puasa yang perisainya dikoyakkan dengan dengki, pertengkaran dan perbuatan keji, haji yang dilakukannya tanpa reda dan hilang sabar, kering ilmu dan kosong amal. Dia mahu mengetuk pintu syurga dengan tangannya yang berlumuran darah kerana mengambil hak saudaranya, menjerit minta diizinkan masuk padahal mulutnya masih berbau bangkai mayat saudaranya yang diumpat, matanya mengintai-intai taman syurga tapi kabur oleh gelapnya bayang-bayang zina mata yang pernah dilakukannya ketika melayari web lucah, khidmat pesanan ringkas (SMS) mesra dan jenayah seksual yang ditatapi setiap hari. Jika tidak juga rasa malu melihat kekotoran diri, sekurang-kurangnya malulah bila melakukannya secara terang-terangan. Apa akan jadi dengan dunia ini apabila semua manusia berbuat maksiat secara terbuka dan tiada seorangpun memiliki rasa malu melakukannya. Rosaklah masyarakat yang tenggelam dalam kebatilan apabila tiada yang menegakkan amar makruf nahi mungkar di kalangan mereka. Kemaksiatan dan kejahatan manusia yang berakhir dengan kehancuran, semuanya bermula daripada hilangnya rasa malu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hamba-Nya, pasti Dia mencabut rasa malu dalam dirinya, jika dicabut rasa malu, maka kamu tidak akan menjumpainya melainkan orang itu membenci dan dibenci. Apabila kamu tidak menjumpainya kecuali ia membenci dan dibenci, dicabutlah rasa amanah daripadanya, maka jika dicabut rasa amanah, kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati kemudian jika kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati, dicabutlah kasih sayang daripadanya, jika kasih sayang dicabut maka kamu tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat, akhirnya dicabutlah ikatan keislaman darinya." (Hadis riwayat Ibnu Majah) l Lihatlah iman dan amal orang lain. Apabila seorang hamba berasa dirinya berada di bawah titik paling rendah dalam kadar hitungan imannya, hendaklah ia melihat kepada ketinggian iman orang lain di sekelilingnya. Perhatikan hamba Allah yang khusyuk berdoa sambil menangis, walaupun hati ini keras tak tembus dengan tangisan tetapi sekurang-kurangnya kita mahu menangisi diri sendiri kerana tidak boleh menangis. Betapa malunya membandingkan kejahilan diri kita dengan ulama, kemalasan kita dengan orang yang ihsan, riak yang terpalit di hati ini bandingkanlah dengan sifat ikhlas yang menghiasi jiwa orang lain. Orang kaya yang bersedekah satu gantang berasa malu melihat orang miskin boleh bersedekah 10 kali ganda daripadanya. Semua orang mukmin yang mulia akhlak dan kuat ibadatnya serta luas kefahaman ilmunya menjadi teladan untuk kita. Pandanglah mereka dengan penghormatan dan kemuliaan dan segera bandingkan dengan diri sendiri, di manakah silapnya kita yang tidak setaraf iman dengan mereka. Jika mereka umpama bintang, kita pula hanya lilin kerdil yang kerjanya hanya membakar diri saja. Di antara orang yang malu dengan yang tak tahu malu, amat jauh beza pada pandangan manusia apatah lagi jika Allah yang memandangnya. Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

sumber oleh: berita harian

No comments:

Post a Comment